Mencungkil bakat serta mengukuhkan kemahiran dalam berbahasa dikalangan murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Terengganu merupakan salah satu visi perlaksanaan program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan.

Tahun 2017 merupakan tahun ke-8 penganjuran Pertandingan Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Program di bawah kelolaan Yayasan DiRaja Sultan Mizan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) ini telah banyak membawa impak positif dalam pencapaian Bahasa Inggeris khususnya dalam peperiksaan awam di negeri ini. Selain dapat mencungkil bakat murid, ianya dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan tahap keyakinan murid dalam penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Penganjuran bagi tahun ini masih mengekalkan tiga pertandingan utama iaitu Pertandingan Smart English, Pertandingan Chorasical Sketch dan Pertandingan Chain Story Telling dengan penambahbaikan dari segi syarat dan teknikal juga tambahan kategori untuk memberi lebih impak kepada program.

Pertandingan Smart English ialah merupakan program pertandingan melibatkan pelajar sekolah rendah secara berpasukan yang menguji tahap kemahiran asas berbahasa seperti mendengar, bertutur, menulis dan menyanyi secara terancang dan menyeronokkan. Pertandingan ini terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian Pertama, Semerta (Impromptu) menguji kemahiran peserta berinteraksi dengan bahan bacaan yang berbentuk grafik dan tekstual secara spontan manakala bahagian kedua pula lebih kepada kaedah terancang (Prepared) di mana peserta dikehendaki membuat persembahan berdasarkan tajuk atau tema yang telah diberikan terlebih awal sebagai persediaan. Pada tahun ini, jawatankuasa pertandingan menambah satu kategori baharu ‘Young Aspiring Reader’ untuk menggalakkan minat membaca serta mencungkil kebolehan dan bakat dalam kalangan muridmurid tahap sederhana lemah.

Chorasical Sketch merupakan program pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah menengah daripada kumpulan Aspirasi (Sekolah Harian). Setiap pasukan terdiri daripada 35 orang murid akan mempersembahkan bicara secara serentak diselangi dengan pergerakan secara kreatif di atas pentas dan diketuai oleh seorang ‘Conductor’. Pertandingan ini dilaksanakan diperingkat daerah dan negeri.

Chain Story Telling melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah daripada kategori sekolah Inspirasi (Sekolah- Sekolah SBP, IMTIAZ, MRSM, Sekolah Elit dan Sekolah Kawalan) walaubagaimanapun penyertaan telah dibuka kepada sekolah-sekolah Aspirasi. Pertandingan ini melibatkan penyertaan 8 peserta sepasukan bagi menguji tahap kemahiran bertutur. Ianya berupaya menguji tahap keupayaan murid menyambung cerita yang diutarakan oleh pihak lawan dalam masa yang singkat secara spontan, santai dan kreatif.

Secara keseluruhannya, Program Pengukuhan Bahasa Inggeris telah mendapat kerjasama amat baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Pertandingan di peringkat zon telah bermula pada 3 – 25 April 2017 manakala di peringkat Daerah telah bermula pada 26 April hingga 9 Mei 2017. Pertandingan telah dinilai oleh para hakim setiap pertandingan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Noraini binti Md. Yusof daripada IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain Bahasa Inggeris, YDSM turut mengambil inisiatif dalam memastikan penguasaan Bahasa Arab juga diberikan perhatian. Pertandingan Pengukuhan Bahasa Arab merupakan pertandingan bagi Sekolah-Sekolah Agama Negeri Terenganu yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mencungkil bakat pelajar dalam menguasai Bahasa arab.

Program ini dijalankan dalam bentuk pertandingan yang disertai oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), dan Sekolah Menengah Imtiaz Negeri Terengganu. Sebanyak dua peringkat pertandingan dilaksanakan iaitu peringkat Zon dan peringkat Akhir.

Pertandingan melibatkan penyertaan seramai 31 orang peserta setiap sekolah bagi pertandingan Kalam Jama’ie dan 25 orang peserta setiap sekolah bagi pertandingan Dikir Arab. Pelajar dibahagikan kepada pasukan atau firqah untuk bertanding bagi memilih wakil ke pertandingan peringkat akhir. Pertandingan dikendalikan oleh  jawatankuasa pelaksana peringkat negeri yang dibentuk di kalangan guruguru dan kakitangan. Tahun ini jawatankuasa perlaksana pertandingan telah mengekalkan pertandingan Dikir Arab di samping menambah nilai kepada pertandingan Kalam Jama`ie .

Program di peringkat zon telah bermula pada 4 Mei 2017. Keputusan pertandingan telah dinilai oleh para hakim setiap pertandingan dan diketuai oleh Tuan Haji Wan Ismail Wan Abdullah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tahun ini turut menyaksikan pembaharuan yang mana peringkat akhir bagi kesemua pertandingan telah diadakan secara serentak pada 20 Mei 2017 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Nerus.
Pertandingan tersebut dihadiri oleh Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman bin Haji Embong, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Piala YDSM. Beliau mengiringi Kepala Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan Bapak Irman Yasin Limpo serta wakil daripada Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pertandingan bermula jam 9.00 pagi dan dimulai dengan taklimat kepada hakim-hakim pertandingan dan diteruskan dengan semua pertandingan secara serentak. Pertandingan berakhir jam 1.30 tengah hari.