Menyedari pentingnya semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban dikalangan warga kerjanya, YDSM mengambil inisiatif menganjurkan program “Hari Keluarga YDSM”. Penganjurannya kerana secara tidak langsung ianya dapat melahirkan sikap prihatin, saling hormat-menghormati, bertolak ansur, amanah serta telus di dalam menjalankan tugas seharian disamping dapat merehatkan minda.

Program berkenaan telah diadakan pada 5 sehingga 7 Mei 2017 bertempat di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Program tersebut turut melibatkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, kakitangan YDSM dan ahli-ahli jawatankuasa program YDSM bersama keluarga masingmasing. Kehadiran beramai-ramai ini seterusnya menjadikan suasana sambutannya semakin meriah.

Rombongan Hari keluarga itu menggunakan kemudahan ‘bot rumah’ (house boat) sebagai penginapan dan pelaksanaan sebahagian besar aktiviti. Ini memang sesuai dengan menjadikan keindahan alam semulajadi tasik itu sebagai terapi untuk ketengan jiwa dan fikiran.

Program selama tiga hari dua malam tersebut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya aktiviti memancing, terapi ikan kelah, aktiviti di air terjun, makan malam BBQ dan lawatan di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV). Semasa di KECV, beberapa aktiviti telah dilaksanakan antaranya sesi ramah mesra dengan gajah, berjalan di atas titian gantung, menaiki gajah, menyaksikan pertunjukan gajah dan memandikan gajah.

Melalui sambutan Hari Keluarga YDSM ini, ia merapatkan lagi ikatan ukhuwah antara warga YDSM dan keluarga masing-masing. Ia menghilangkan penat kerja dan menaikkan semangat para warga. Adalah menjadi harapan agar sambutan seumpama ini dapat dianjurkan pada tahun akan datang.