Kejadian bencana alam terutamanya banjir merupakan musibah yang harus diuruskan secara cekap dan berkesan oleh semua pihak. Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) merupakan antara pihak yang melaksanakan Program Bantuan Banjir kepada para mangsa banjir di seluruh daerah di Terengganu sejak beberapa tahun yang lalu.

Program ini juga sejajar dengan matlamat YDSM yang pada dasarnya untuk mempertingkat dan memperkasakan sosio ekonomi rakyat Negeri Terengganu khasnya dan Malaysia amnya melalui pelbagai bentuk sumbangan yang sesuai.

Pada akhir tahun 2016 sebelum menjelang 2017, YDSM telah menggerakkan bantuan berkenaan ke daerah yang terjejas teruk akibat banjir antaranya daerah Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Setiu. Dengan adanya bantuan berkenaan, ianya sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka akibat musibah tersebut. Antara keperluan yang diagihkan adalah kit barangan keperluan harian yang mengandungi tikar, kain selimut, set mandian, makanan dan minuman.