(Temubual bersama Dato’ Haji Mohd. Fadzli Yusof)

Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah dikurniakan anugerah ‘Islamic Finance Pioneer Award (Takaful)’ pada 9 April 2016. Anugerah ini sebagai pengiktirafan atas peranan penting beliau merintis penubuhan dan pelaksanan takaful sistem insurans menurut prinsip dan kehendak Syariah di Malaysia. Anugerah itu diberikan kepada beberapa orang tokoh terkemuka yang mempelopori dan merintis penubuhan institusi kewangan Islam di Malaysia oleh Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), sebuah institusi pendidikan dan latihan yang ditubuhkan khas oleh Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan Islam. IBFIM berperanan menganjur dan melaksanakan program latihan kepada para pengamal kewangan Islam di Malaysia, termasuk perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam. Tokoh lain yang menerima anugerah tersebut daripada IBFIM ialah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh perbankan terkemuka Tan Sri Azman Hashim, dan Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, pengasas & Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad yang pertama.

Ikutilah temubual TINTA bersama Dato’ Fadzli seperti berikut:

TINTA: Boleh Dato’ kongsikan latar belakang kehidupan dan pendidikan Dato’?

DMFY: Saya anak jati Terengganu dan menerima pendidikan awal sehingga ke peringkat sekolah menengah di Kuala Terengganu. Saya memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran apabila saya memasuki Radio Malaysia pada 1965. Pada tahun 1970, saya berhijrah ke BBC World Service, London untuk berkhidmat sebagai penyiar sehingga 1976. Semasa di London, saya berpeluang melanjutkan pelajaran secara persendirian, dan lulus bidang profesional dengan memperolehi Diploma Communication, Advertising & Marketing (CAM) dari CAM Foundation United Kingdom pada 1976. Sekembalinya saya ke Malaysia, saya menyertai Bank Bumiputera dan kemudian berhijrah ke sektor insurans dan berkhidmat di Malaysia National Insurance Sdn Bhd (MNI) pada 1981. Di sinilah bermulanya pengembaraan saya dalam sistem kewangan Islam khususnya takaful.

TINTA: Bagaimana Dato’ boleh terlibat dengan sistem kewangan Islam (Takaful) di Malaysia?

DMFY: Sekitar akhir tahun 70an dan awal 80an, semasa saya bersama MNI, Kerajaan Malaysia sedang merancang untuk menubuhkan perbankan Islam. Tugas untuk mengkaji penubuhan perbankan Islam diamanahkan oleh Kerajaan kepada Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bagi Mengkaji Penubuhan Sebuah Bank Islam di Malaysia. Salah satu perkara yang difikirkan oleh Jawatankuasa berkenaan ialah keperluan kepada insurans mengikut landasan Syariah memandangkan perkhidmatan dan aset bank memerlukan perlindungan insurans. Hal ini berikutan, insurans konvensional sedia ada bercanggah dengan kehendak syara’. Jawatankuasa tersebut mengesyorkan kepada Kerajaan supaya sebuah badan khas ditubuhkan, yang diberi nama Badan Petugas Bagi Mengkaji Penubuhan Sebuah Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia pada 1982. Badan Petugas telah membuat lawatan kajian ke beberapa buah negara yang telah dan akan melaksanakan insurans berpandukan Islam pada ketika itu termasuklah Arab Saudi, Mesir, Sudan dan Switzerland. Semasa di Switzerland, ketika mengunjungi Darul Mal Al Islami (DMI) iaitu sebuah institusi kewangan Islam, kami dimaklumkan bahawa sistem insurans secara Islam diasaskan kepada konsep takaful yang secara amnya membawa maksud saling tolong-menolong atau saling jamin-menjamin.

Pada 1984, Badan Petugas menyerahkan laporan kajian kepada Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir dengan perakuan bahawa insurans secara Islam berlandaskan konsep takaful boleh dilaksanakan di Malaysia. Kerajaan menerima laporan dan perakuan yang dibuat dan Syarikat Takaful Malaysia Sendirian Berhad diperbadankan pada 1984 sebagai pengendali perintis takaful. Tanggungjawab penubuhan Syarikat ini
diamanahkan kepada Bank Islam Malaysia Berhad. Oleh sebab saya terlibat pada peringkat awal dalam kajian mengenai insurans secara Islam, maka saya telah dilantik oleh Bank Islam selaku pemegang saham terbesar dan menerajui Syarikat ini sebagai ketua eksekutif. Saya telah berkhidmat selama hampir 22 tahun sehingga saya bersara pada 2006.

TINTA: Mengapa sistem insurans Islam (Takaful) perlu diperkenalkan di Malaysia?

DMFY: Berdasarkan pandangan pelbagai ulama, sistem insurans konvensional sedia ada tidak mematuhi kehendak Syariah kerana aqad atau kontraknya tidak menepati rukun aqad mengikut Syariah. Ia berbeza dengan konsep takaful yang menekankan prinsip saling tolong-menolong dan jamin-menjamin. Di bawah takaful, peserta-peserta digambarkan bersetuju untuk saling bantu-membantu dan jamin-menjamin di antara mereka. Jika berlaku sebarang
musibah, semua rakan peserta bersetuju untuk menyediakan manfaat dalam bentuk tuntutan takaful kepada peserta malang tersebut. Sistem takaful ini menolak amalan yang diharamkan Islam seperti riba dan gharar (aqad yang tidak jelas) kerana bayaran premium (sumbangan takaful) yang kecil ini berupaya menyediakan manfaat yang jauh lebih besar untuk menangani sesuatu musibah. Bayaran premium ini merupakan bayaran yang disumbangkan oleh setiap peserta takaful secara tabarru’ atau derma. Wang sumbangan ini kemudian dimasukkanke dalam dana khusus yang dipanggil Kumpulan Wang Takaful yang tidak dicampuradukkan dengan dana lain. Jika Kumpulan Wang ini mempunyai lebihan selepas membayar segala belanja takaful seperti tuntutan, rizab dan lain-lain, lebihan ini akan diagihkan kepada peserta. Hal ini berbeza dengan insurans konvensional di mana aqadnya diasaskan kepada rukun jual beli yang tidak selari dengan keperluan Syara’.

Apabila perbankan Islam mula bertapak dan berkembang sehingga ke hari ini, maka keperluan takaful bertambah kerana perbankan Islam dan takaful saling melengkapi antara satu sama lain. Bagi menjamin perkhidmatan perbankan Islam itu benar-benar Islamik, maka sudah tentu ia memerlukan takaful sebagai sistem insurans yang patuh Syariah. Oleh sebab takaful berpandukan Syariah, ia mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan majoriti penduduk Malaysia yang beragama Islam, dan juga sesuai dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

TINTA: Boleh kongsikan pengalaman Dato’ dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam (Takaful) melalui institusi-institusi yang dipimpin oleh Dato’?

DMFY: Alhamdulillah, dengan izin-Nya, saya terbabit dengan perkembangan takaful. Selepas 10 tahun penubuhan Syarikat Takaful Malaysia, ia telah berjaya ditransfomasikan menjadi sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia pada 1995. Selain itu, saya turut bersama membantu penubuhan takaful di Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan dan Arab Saudi sewaktu saya masih bertugas dahulu. Saya juga dipilih sebagai Pengerusi pengasas ASEAN Takaful Group (ATG). Persatuan ATG inilah yang menjadi pemangkin kepada penubuhan ASEAN Retakaful International (Labuan) Ltd. (ARIL). ARIL ialah pengendali sulung yang menyediakan perkhidmatan takaful semula kepada pengendali-pengendali takaful, yang sebelum ini terpaksa menggunakan khidmat yang disediakan oleh syarikat insurans semula konvensional. Kini, kita lihat sistem kewangan Islam berada pada asas yang kukuh dan insya Allah akan terus maju. Bagi memastikan keseragaman operasi dan tata urus takaful berada pada asas yang kukuh, badan-badan piawaian khusus antarabangsa telah ditubuhkan seperti Islamic Financial Supervisory Board (IFSB) dan Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). Di peringkat nasional, IBFIM, INCIEF dan ISRA telah ditubuhkan bagi melatih dan melahirkan pakar-pakar, pengamal-pengamal mahir dan profesional dalam industri kewangan Islam. Pada pandangan saya, ini amat penting kerana Malaysia telah diakui sebagai peneraju dalam industri ini.

TINTA: Apakah cabarancabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam (Takaful) di Malaysia?

DMFY: Perlu kita sedari bahawa kewangan Islam secara amnya adalah sesuatu yang baru. Bagi kami selaku pelopor, pada peringkat permulaan, kami ingin memastikan bahawa operasi takaful dapat dilaksanakan dengan jaya dan sesuai dengan kehendak dan permintaan sosioekonomi semasa serta disiplin pengurusan moden. Dalam kata lain, ia bertujuan untuk mengaplikasikan prinsip dan kehendak Syariah sejajar dengan amalan pengurusan masa kini yang bergerak dalam pasaran terbuka. Misalnya, dalam operasi bank, timbul tanda tanya bagaimana kendalian perbankan yang lazimnya menjana keuntungan daripada faedah pinjaman dapat berdikari melalui kaedah berkongsi untung, tanpa amalan mengenakan faedah. Ini menimbulkan keraguan akan kebolehlaksanaan sistemperbankan Islam di kalangan rakyat. Di pihak takaful pula, timbul tanda tanya bagaimana pengendali takaful dapat bertahan jika lebihan Kumpulan Wang Takaful dikongsi atau diagihkan kepada peserta dan pengendali. Hal ini berikutan, pada waktu itu, kebanyakan syarikat insurans mengalamai kerugian dana insurans masingmasing. Ianya sukar apabila untung yang diperolehi hanya disalurkan sebagai pulangan ke atas aktiviti pelaburan sahaja.

Cabaran selanjutnya adalah kekurangan sumber daya manusia. Pada akhir 70an dan awal 80an, terdapat hanya sebilangan kecil Bumiputera beragama Islam yang mempunyai pengalaman kerja di peringkat eksekutif dalam industri insurans. Di peringkat awal, kami memerlukan kakitangan permulaan ini, terutamanya di peringkat eksekutif iaitu mereka yang mempunyai pengalaman kerja dengan syarikat insurans. Oleh sebab kurangnya bilangan Bumiputera yang memegang jawatan eksekutif dalam syarikat insurans, pelaksanaan sistem takaful menghadapi kesukaran di peringkat awal khususnya dalam mendapatkan kakitangan dalam kalangan orang Melayu/Islam yang mempunyai kepakaran atau sekurang-kurangnya pengetahuan dalam bidang insurans.

Selain itu, kami juga menghadapi cabaran tentang bagaimana kami dapat berkembang ke seluruh negara. Sebagai sebuah entiti perniagaan, kami akan diukur dari segi daya untung di mana kami harus mengimbangi perbelanjaan mengikut daya jaya perniagaan. Terakhirnya,cabaran untuk memberi penerangan kepada orang awam tentang konsep dan pelaksanaan sistem takaful itu sendiri. Penerangan ini penting untuk memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa produk ini tidak hanya patuh Syariah tetapi mampu memberikan alternatif kepada sistem insurans konvensional. Pada pandangan saya, langkah penerangan ini memerlukan masa.

TINTA: Boleh Dato’ kongsikan pencapaian sistem kewangan Islam (Takaful) di Malaysia?

DMFY: Pelaksanaan takaful di Malaysia ternyata berjaya dan berkembang dengan pantas. Purata pertumbuhan pada ketika itu tidak kurang 20% setahun. Malaysia berjaya membawa takaful ke persada antarabangsa. Kita juga menjadi rujukan pihak luar untuk mendapatkan panduan dan nasihat termasuk dalam bidang Syariah untuk memperkenalkan sistem yang sama di negara-negara yang berkaitan. Terdapat tokoh-tokoh Syariah kita yang menjadi ahli Lembaga Syariah badan-badan antarabangsa termasuk Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah dan AAOIFI di Bahrain. Berpandukan kejayaan takaful, Malaysia mengembangkan kepakarannya dalam bidang perbankan Islam dan pasaran modal. Hal ini dapat dilihat dengan penubuhan Majlis Penasihat Syariah Nasional untuk Institusi Kewangan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Pada pandangan saya, antara faktor yang mendokong perkembangan pesat industri kewangan Islam ialah sokongan pihak pemerintah. Kedua, pencapaian kewangan Islam dapat diukur melalui penggubalan undang-undang kewangan Islam seperti Akta Perbankan Islam 1983, Akta Takaful 1984 dan undangundang terbaru iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Akta-akta ini penting untuk menjamin tadbir urus baik, kredibiliti dan keyakinan di kalangan rakyat. Ketiga, pencapaian sistem takaful di Malaysia dapat dilihat melalui kemajuan inovasi dalam perkhidmatan dan produk kewangan Islam yang dapat memenuhi permintaan dan citarasa masyarakat baik individu mahupun korporat.

TINTA: Adakah Dato’ masih terlibat dengan takaful selepas bersara?

DMFY: Setelah bersara, saya bersama dengan rakan-rakan pengasas perbankan Islam dan pasaran modal telah menubuhkan syarikat khidmat perunding kewangan Islam iaitu First International Consulting Sdn Bhd (FIC). Antara khidmat kami adalah membantu penubuhan dan melaksanakan kajian prasarana perbankan Islam, takaful dan pasaran modal di Mauritus, Dubai, Thailand, Russia, Gambia, Maldives dan yang terbaru Nigeria.

TINTA: Adakah anugerah daripada IBFIM ini anugerah pertama yang Dato’ terima?

DMFY: Semasa masih berkhidmat, saya telah menerima anugerah “Tokoh Pengurus Takaful” daripada The College of Insurance di New York pada 2000. Selepas bersara pada 2013, pihak Malaysian Takaful Association (MTA) atau Persatuan Pengendali Takaful Malaysia telah menganugerahkan saya “Kembara Takaful Award”.

TINTA: Soalan terakhir kami — Bolehkah Dato’ kongsikan bagaimana pengalaman Dato’ dalam bidang Kewangan Islam dimanfaatkan menerusi program yang dijalankan oleh YDSM?

DMFY: Salah satu objektif atau matlamat besar YDSM adalah untuk memartabatkan agama Islam. Justeru, YDSM memberi tumpuan kepada peningkatan dan perkembangan ilmu yang boleh dijadikan sumber rujukan dan penyediaan kepakaran kepada masyarakat. Selaras dengan objektif ini, pada 2015, YDSM telah membangunkan satu program baharu berkaitan pendidikan tinggi iaitu tawaran Biasiswa PhD YDSM dengan fokus dalam bidang kewangan Islam dan sains kelestarian. Seorang calon iaitu Encik Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak telah dipilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang kewangan Islam di Universiti Aberdeen, Scotland, United Kingdom bermula September 2015.

TINTA: Terima kasih banyak-banyak Dato’ atas perkongsian pengetahuan dan maklumat mengenai pembangunan industri takaful di Malaysia serta pengalaman Dato’ sendiri dalam usaha tersebut. Apa yang Dato’ kongsikan ini amat berguna kepada kita semua.

DMFY: Sama-sama.