Pada akhir tahun 2014, satu inisiatif untuk melaksanakan program Bahasa Inggeris tambahan yang dikenali sebagai ‘Your Language My Culture’, yang direka khusus untuk sekolah-sekolah menengah Terengganu, telah dikemukakan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YDSM yang dipengerusikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Mizan. Usulan ini telah diterima baik. Program ini mula berjalan rancak sejak akhir 2015 dan sepanjang 2016, dan akan diteruskan sehingga 2018 bagi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, dan berkemungkinan akan dilanjutkan kepada Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kemudiannya.

Apakah itu ‘Your Language My Culture’?

Pertama sekali, YLMC ialah satu modul tambahan. Ini bermakna bahawa ia tidak mengambil alih sukatan pelajaran kebangsaan dan tidak menggantikan buku teks semasa yang sedang digunakan. Kedua, ia adalah satu modul bacaan, tetapi ia adalah jenis bacaan yang berbeza daripada segi bentuk dan kandungan daripada bacaan yang tersukat dalam buku teks yang ditetapkan. Modul baru ini memberi tumpuan kepada bacaan yang membawa kepada pertuturan/ penulisan berdasarkan korpus bacaan yang berbeza. Bacaan ini diambil daripada material budaya tempatan yang kebanyakannya tertumpu pada negeri Terengganu dan juga daripada teks pelbagai disiplin seluruh kurikulum.

Saya dan rakan-rakan pasukan pengkaji penuh yakin bahawa terdapat juga prinsip-prinsip pedagogi yang kukuh mengapa kami memilih untuk melakukan aktiviti ini. Seperti yang kerap kali diingatkan oleh pakar-pakar dalam bidang linguistik, kita harus bermula dengan perkara yang kita biasa untuk mengajar sesuatu bahasa dengan baik. Sekiranya kita mencampakkan pelajar-pelajar kita ke dalam kolam air yang dalam sebelum mereka belajar bagaimana untuk berenang di kawasan yang lebih cetek, mereka tentu akan lemas. Bahasa Inggeris adalah satu pembolehubah yang tidak dikenali dan budaya Barat adalah sesuatu yang jauh daripada segi budaya bagi golongan pelajar Terengganu. Penggunaan kandungan dan konteks yang sudah terbiasa akan memudahkan pembelajaran bahasa.

Mengapa kami mempromosikan ‘Your Language My Culture’?

Kami berharap banyak manfaat akan diperolehi oleh pelajar-pelajar Terengganu apabila mereka terlibat dengan aktiviti ini. Pertama, kami mengharapkan mereka mendapat kesedaran dan menghargai warisan mereka sendiri. Kedua, kami mengharapkan para pelajar yang mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua akan menggunakan perbendaharaan kata yang betul dan bahasa yang sesuai untuk menjelaskan, bercakap dan menulis mengenai apa yang mereka ketahui tentang budaya mereka dalam Bahasa Inggeris. Ketiga, kami mengharapkan mereka memahami keterhubungan antara apa yang mereka belajar dalam mata pelajaran lain di sekolah dengan realiti kehidupan seharian mereka. Akhir sekali, kami mengharapkan apabila mereka membaca maklumat dan pengetahuan dalam bahasa Inggeris, mereka akan belajar untuk membezakan perspektif mereka yang berakar umbi dalam sistem nilai mereka sendiri dengan perspektif Barat yang tertanam dan terasimilasi dalam teks Bahasa Inggeris.

Mengapa kami mempromosikan ‘Your Language My Culture’ sekarang?

Dari segi pembiayaan dan kerjasama, kami berada di tempat yang betul, pada masa yang sesuai dan dengan orang yang betul. Dengan pelancaran Program ‘State Window’ pada tahun 2014 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ditambah pula dengan kesediaan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) untuk melabur dari segi kewangan dalam projek kami dan agenda kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang berpandangan jauh, kesemuanya seolaholah sudah tersusun dengan sempurna buat kami. Matlamat bersama yang didokong oleh ketiga-tiga rakan kerjasama ini telah diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan satu siri mesyuarat penyelarasan pada tahun 2015, seterusnya dengan Memorandum Perjanjian yang telah ditandatangani oleh UKM dan YDSM pada 14 Jun 2015. Seterusnya, ia menjadi kenyataan dengan pelancaran program YLMC dengan gahnya oleh KDYMM Sultan Mizan pada 12 Januari 2016.

Tidak kurang pentingnya ialah hakikat bahawa kita perlu proaktif dalam menangani kesan global Bahasa Inggeris yang pantas mengubah dasar-dasar bahasa bagi negara-negara di seluruh dunia yang tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris. Pakar-pakar linguistik menyatakan bahawa kemaraan ini tidak dapat dihalang dan kesannya tidak dapat diterbalikkan. Mereka juga meramalkan bahawa Bahasa Inggeris global akan membenarkan kemasukan ke dalam budaya Barat secara keseluruhan dan nilai-nilai Budaya barat secara amnya.

Fenomena ini tentunya akan meminggirkan nilai dan budaya tempatan, satu hakikat yang kini sudah terbukti. Kita perlu meredakan ketegangan di antara keinginan kepada Bahasa Inggeris global dan keghairahan untuk memelihara identiti budaya kita. Pilihan yang kita ada adalah sama ada kita mengikut arus perubahan ataupun kita akan ketinggalan di belakang. Kita mahu mengikut arus perubahan tetapi kita perlu mengawal dan membuat keputusan untuk diri kita sendiri dan ke arah mana kita mahu pergi.

Bagaimana kami mengatur ‘Your Language My Culture’?

Secara logistiknya, kami telah membentuk tiga unit kepakaran untuk tujuan pelaksanaan:

Unit 1: Pembangunan Material

Setakat ini, jawatankuasa ini telah siap menulis dan menyiapkan bahan pengajaran yang terdiri daripada 12 rancangan pelajaran (salinan guru) dan buku kerja yang sepadan (salinan pelajar) untuk Tingkatan 1, diasaskan terutamanya kepada matriks bacaan yang disesuaikan dan matriks budaya program itu sendiri. Selanjutnya, buku untuk Tingkatan 2 juga sudah siap ditulis dan dicetak pada tahun 2016.

Unit 2: Penyelidikan

Tugas jawatankuasa ini adalah untuk memantau penilaian dan penambahbaikan program serta trace studies, menggunakan pelbagai instrumen penilai di lima buah sekolah perintis yang dipilih. Proses ini telah dijalankan dengan baik dan program laman web ylmc.info telah ditubuhkan dan digunakan untuk tujuan maklum balas interaktif.

Unit 3: Latihan untuk Jurulatih/Guru (TOT)

Jawatankuasa ini ditugaskan untuk memastikan bahawa kita mempunyai asas yang kukuh dari segi pedagogi dan melaksanakan amalan terbaik dalam pengajaran dalam bilik darjah. Satu sesi latihan yang intensif telah diadakan di Kuala Terengganu untuk guru-guru Bahasa Inggeris dari lima buah sekolah perintis dan beberapa pegawai Bahasa Inggeris peringkat daerah dan negeri.

Kesimpulan Kami berharap menjelang akhir program ini, kedua-dua pihak guru dan pelajar mempunyai pengertian dan pemahaman yang sama dengan kami, berkongsi keghairahan dan misi supaya para pelajar dapat menguasai kemahiran berbahasa, dan dalam masa yang sama, memperkayakan budaya. Dalam kata lain, mereka akan dilengkapi dengan perbendaharaan kata yang betul, bahasa yang betul dan perspektif yang betul untuk membaca, menulis dan bercakap tentang budaya mereka sendiri.