Menyedari masih ramai golongan yang memerlukan sokongan dan bantuan, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) melalui Jawatankuasa Agihan Zakat terus tampil menghulurkan bantuan. Program Agihan Zakat YDSM dilaksanakan bagi memperkasakan sosioekonomi rakyat dan berpendapatan rendah Negeri Terengganu melalui sumbangan bantuan zakat dalam pelbagai bentuk. Sumbangan itu sama ada dalam bentuk peralatan perniagaan, baik pulih premis perniagaan, sumbangan kewangan untuk pendidikan dan kesihatan serta bantuan Hari Raya kepada fakir miskin dan pelajar sekolah. Dalam agihan bantuan zakat, YDSM umumnya berpegang pada prinsip “memberi joran dan bukannya ikan” dalam menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan agar mengatasi budaya bergantung atau mengharapkan bantuan.

Menurut Pengerusi Program Agihan Zakat YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof, program ini telah dilaksanakan sejak 2008 dan ia telah memberi manfaat kepada lebih 3000 penerima pelbagai kategori. “Program Agihan Zakat ini merupakan salah satu daripada program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh YDSM sejajar dengan matlamat penubuhannya. Bantuan yang dihulurkan itu diharap dimanfaat dengan sebaik mungkin oleh para penerima untuk membantu mengubah keadaan hidup mereka ke tahap yang lebih baik,” kata beliau ketika ditemui TINTA, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM di Pejabat YDSM.

Dalam TINTA kali ini, kita menyiarkan kisah jaya dua orang penerima bantuan zakat usahaniaga mikro – seorang peniaga keropok lekor, dan seorang lagi penyedia makanan.

Usahaniaga Mikro – Peniaga Keropok Lekor

Salah seorang penerima bantuan, Encik Nazri bin Mohd Ghazali, 28 tahun, merupakan seorang peniaga kecil-kecilan yang mengusahakan keropok lekor bersama isterinya sejak setahun yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut, beliau kerap kali diberitahu oleh para pelanggannya supaya menjual keropok lekor dalam paket plastik vakum memandangkan ia dapat bertahan lebih lama dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

Meskipun mempunyai hasrat untuk berbuat demikian, beliau tidak mampu melakukannya kerana kekangan modal. Justeru, melalui saranan seorang kenalan, beliau telah mengemukakan permohonan bantuan kepada YDSM. Setelah disemak latar belakangnya, YDSM bersetuju untuk menyumbangkan sebuah mesin vakum berharga RM5,200.00 kepada Nazri bagi membolehkan beliau mengusahakan keropok lekor vakum.

“Sebelum ini, hasil pendapatan harian daripada jualan keropok lekor dan air kelapa muda adalah sekitar RM70.00 sehari. Alhamdulillah, dengan bantuan yang diberikan oleh YDSM, saya dapat menggandakan pendapatan tersebut kepada RM150.00 – RM200.00 sehari. Pendapatan saya kini lebih lumayan terutamanya ketika cuti perayaan dan cuti sekolah kerana saya menerima tempahan keropok lekor vakum. Dari hanya sebuah meja kecil di tepi jalan, berkat bantuan YDSM, saya kini mampu mendirikan sebuah gerai tetap yang lengkap dengan dinding dan bumbung. Terima kasih kepada YDSM kerana menyokong usahawan muda seperti saya,” katanya ketika ditemui TINTA tidak lama dahulu.

Puan Zabedah Abdullah, Ibu Tunggal Peserta Terbaik Program

Keinginan untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik sememangnya menjadi impian semua insan. Namun, kekurangan kewangan dan motivasi diri sering menjadi hambatan untuk maju ke hadapan. Itulah dilema awal yang dihadapi oleh penerima bantuan zakat perniagaan YDSM, Puan Zabedah binti Abdullah, seorang ibu tunggal berusia 49 tahun. Beliau yang mempunyai tiga orang anak (dua orang masih dibangku sekolah) merupakan seorang peniaga (menjual makanan pagi) dengan pendapatan sekitar RM600.00 sebulan. Beliau juga turut menjaga ayahnya yang uzur.

Semasa Jawatankuasa Zakat YDSM mengadakan lawatan ke rumah beliau, premis perniagaan beliau kelihatan amatlah uzur. Ia berisiko untuk runtuh kerana struktur binaannya yang usang. Melihat kesungguhan beliau untuk berniaga, YDSM bersetuju untuk membina premis perniagaan yang lebih baik di samping membiayai kelengkapan perniagaan dengan sumbangan berjumlah RM3,000.00.

Kini, setelah dua tahun berlalu, perniagaan beliau kian bertambah maju. Daripada makanan pagi, perniagaan beliau berkembang kepada jualan makanan tengah hari. “Syukur alhamdulillah atas rezeki yang diberikan. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YDSM kerana telah banyak membantu saya sewaktu saya berada dalam kesusahan dahulu. Apa yang saya kecapi pada hari ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Semoga YDSM terus maju dan proaktif dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemubual oleh TINTA di rumahnya.

Lantaran semangat gigih beliau yang membawa kejayaan yang dikecapi, beliau telah dipilih sebagai peserta terbaik bagi program agihan zakat perniagaan YDSM sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Penubuhan Yayasan DiRaja Sultan Mizan pada 2015. TINTA berharap agar kisah dan pengalaman hidup beliau ini menjadi inspirasi kepada masyarakat umum khususnya golongan yang tidak bernasib baik dan ibu tunggal untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.