Ungkapan “pelajar hari ini adalah pemimpin masa hadapan, dan juga ejen perubahan” menunjukkan pentingnya usaha pembinaan insan dalam kalangan golongan remaja sebagai pewaris masa depan negara dan bangsa. Menyedari hakikat ini, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah menganjurkan Program Kem Remaja Harapan YDSM untuk pelajar-pelajar terpilih di peringkat sekolah menengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT). Program ini telah memasuki tahun kelima setelah ia dimulakan buat julung kali pada tahun 2012.

Program tahun ini diadakan selama tiga daripada 18 Mei – 21 Mei 2016 bertempat di Pusat Ko-Kurikulum JPNT, Pulau Redang. Seramai 100 orang pelajar perempuan dari beberapa buah sekolah terpilih dari daerah Kemaman, Dungun dan Marang telah mengikuti Program ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin seperti buli, merokok, ponteng sekolah, melawan ibu bapa dan guru dan sebagainya. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang kem berkenaan. Aktiviti-aktiviti itu termasuk sesi berkenalan (ice breaking), taaruf/group binding, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1 – ‘Saya dan kawan saya’; LDK 2 – ‘Katakan tidak1’; LDK 3 – ‘Saya fikir, saya buat dan saya rasa’; LDK 4 dan LDK 5 – ‘Potensi Diri’; LDK 6 – ‘Explorace: bijak solat’; LDK 7 – ‘Refleksi kumpulan besar.’

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan membuka minda para pelajar tentang kepentingan membina masa depan yang baik melalui pendidikan, ketinggian akhlak dan budi serta insaniah yang murni. Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk semangat dan motivasi yang tinggi di kalangan para pelajar, membangun kehidupan masa depan termasuk kerjaya yang baik berteraskan prestasi akademik serta pegangan kepada nilai-nilai agama.

Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan teratur, berkesan dan mencapai matlamatnya, YDSM telah menganjurkan beberapa siri bengkel persiapan kepada para penceramah, guru-guru dan fasilitator yang terlibat. Antara persiapan tersebut termasuklah bengkel penyediaan dan penyelarasan modul yang diadakan pada 26 Januari 2016, bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan bengkel “Training Of Trainers” pada 23 Mac 2016, bertempat di YDSM. Kedua-dua bengkel berkenaan telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa dan guru-guru kaunseling dari beberapa buah sekolah di daerah Dungun dan Kemaman. Tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk menyusun atur modul kem, menyelaras tugas guru pengiring, fasilitator dan urusetia bagi memastikan pengurusan itu berkesan. Di samping itu, lawatan tapak program juga telah diadakan pada 12 Mei 2016 bagi meninjau keadaan tempat dan kesesuaian tapak itu dengan aktiviti program.

TINTA berharap agar penganjuran Kem Remaja Harapan YDSM ini dapat memberikan motivasi dan harapan kepada para pelajar untuk berusaha membina masa depan yang lebih baik. TINTA merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.