Program Seni Kraf Warisan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) Siri Ke-6 telah bermula pada 1 April 2016, setelah Siri Ke-5 tamat pada Oktober 2015. Tujuan utama program ini ialah untuk menghidupkan kembali seni kraf warisan yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemegahan Negeri Terangganu. Oleh sebab seni kraf warisan ini semakin tenggelam ditelan arus pembangunan, YDSM komited untuk menghidupkan kembali seni kraf warisan melalui penganjuran program kemahiran sekaligus membantu para pelatih menjadikan kemahiran kraf warisan sebagai sumber pendapatan mereka.

Dalam Siri Ke-6 ini, seramai 31 orang pelatih baharu telah dipilih melalui proses temuduga yang dijalankan pada Mac 2016. Pemilihan ini dibuat oleh YDSM dengan kerjasama para mentor dan pensyarah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) Kampus Gong Badak, Profesor Madya Dr. Fakhrul Anwar Zainol. Proses temuduga ini amat penting untuk memilih dan menyaring calon-calon pelatih yang betul-betul sesuai dan berminat dalam bidang ini. Calon yang dipilih harus cukup berminat dan mampu untuk menamatkan kursus selama 18 bulan.

Program ini ditunjangi oleh sembilan orang tukang mahir yang mewakili bidang seni kraf warisan Ukiran Kayu, Pembuatan Batik Blok, Batik Lukis dan Batik Terap, Pembuatan Barangan Tembaga, Pembuatan Barangan Perak, dan Pembuatan Senjata Tradisional (seperti keris berserta hulu dan sarung, pisau, parang dan golok).

Sebelum sesi latihan bermula, YDSM telah menganjurkan Minggu Suai Kenal untuk para pelatih. Minggu Suai Kenal inidiadakan pada 21-23 April 2016 bertempat di SCOUT INN Resort, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu. Minggu Suai Kenal ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pelatih baharu, memperluaskan minda mereka tentang peluang dan pengembangan kerjaya pada masa hadapan, menanamkan rasa tanggungjawab, ketinggian akhlak dan moral, serta penguasaan kemahiran insaniah yang baik di samping membina asas jati diri cemerlang dan semangat kekitaan yang tinggi dalam diri para pelatih.

Minggu Suai Kenal ini dipimpin oleh Pensyarah Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu iaitu Dr. Siti Salina binti Abdullah dengan kerjasama Ustaz Amir Sabri bin Abd Ghani daripada Masjid Al- Muktafi Billah (Ladang) sebagai Fasilitator. Pelbagai modul danaktiviti telah dilaksanakan di dalam program ini termasuklah sesi berkenalan (Ice Breaking), Riadah, Scout Inn, SWOT dan Pembentangan SWOT, Explorace dan Aktiviti Kerohanian.

Ketika ditemui TINTA, Dr. Siti Salina binti Abdullah menyatakan bahawa para peserta menyambut baik program ini dan kebanyakan peserta jelas dengan matlamat Program Seni Kraf Warisan YDSM. Beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

TINTA berharap agar semua pelatih baharu yang menyertai program ini berusaha keras menuntut ilmu dalam bidang yang diceburi, sentiasa bersemangat dan berusaha keras mengatasi sebarang kesulitan. TINTA mengucapkan selamat maju jaya!