Program Agihan Bubur Lambuk Ramadhan merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM). Program yang telah memasuki tahun kelapan ini begitu sinonim dengan YDSM. Program ini saban tahun mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Menurut Pengerusi Program Agihan Bubur Lambuk, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, YDSM menerima permohonan yang semakin meningkat daripada beberapa buah masjid setiap tahun agar agihan bubur lambuk ini diperluaskan. “Pada tahun pertama, agihan hanya tertumpu di Bandaraya Kuala Terengganu sahaja melalui agihan di Masjid Zainal Abidin. Namun, kerana sambutan dan permintaan orang ramai, ianya diperluaskan pada tahun berikutnya ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang. Pada tahun-tahun berikutnya, Program Agihan Bubur Lambuk Ramadhan ini terus diperluaskan ke daerah-daerah Marang, Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya ketika ditemui oleh TINTA di Pejabat YDSM.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Tuan Haji Tajuddin bin Adam terus diberi kepercayaan untuk mengetuai penyediaan juadah bubur lambuk tersebut. Beliau yang berpengalaman luas dalam penyediaan bubur lambuk merupakan salah seorang penerima bantuan zakat perniagaan YDSM pada suatu ketika dahulu. Kejayaan beliau ini menjadi contoh dan motivasi kepada para penerima bantuan zakat usahaniaga mikro YDSM yang lain, serta menjadi simbol kejayaan YDSM dalam memperkasakan sosioekonomi golongan miskin untuk menjadi seorang usahawan mikro yang berjaya.

“Syukur Alhamdulillah kerana apa yang saya miliki pada hari ini adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Terima kasih kepada pihak YDSM. YDSM banyak membantu dan membimbing saya selama ini dan terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk menguruskan juadah dan agihan bubur lambuk pada kali ini,” kata Haji Tajuddin kepada TINTA semasa penyediaan bubur lambuk di rumahnya di Kampung Gong Gemia, Panji Alam, Kuala Terengganu.

Ketika TINTA membuat tinjauan agihan bubur lambuk di Perkarangan Masjid Al- Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, orang ramai mula beratur panjang selepas solat asar bagi menerima bubur lambuk tersebut. Masjid lain yang terlibat dengan agihan bubur lambuk ini adalah Masjid Abidin (Masjid Negeri) dan Masjid Hiliran bagi Daerah Kuala Terengganu, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah bagi Daerah Dungun dan Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang bagi Daerah Hulu Terengganu.

Selaras dengan hasrat YDSM untuk mengekalkan warisan ilmu dan kemahiran dalam penyediaan bubur lambuk, seorang tukang masak telah dilantik. Beliau ialah Encik Mohammed Musa bin Haji Tajuddin yang ditugaskan untuk menyedia dan menguruskan agihan bubur lambuk bagi daerah Dungun, di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Tuan Haji Tajudin.

TINTA berharap agar program ini akan diteruskan pada masa yang akan datang. Sehubungan dengan itu, TINTA menyeru kepada semua pihak samada perseorangan mahupun korporat agar sama-sama menyumbang bagi membiayai program ini supaya tradisi agihan bubur lambuk ini dapat dikekalkan.