Menyedari akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris terutama di kalangan pelajar, Yayasan DiRaja Sultan Mizan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Pedagogi Guru- Guru Bahasa Inggeris bagi subjek Malaysian University English Test (MUET) di peringkat negeri Terengganu.

Inisiatif ini dilaksanakan oleh YDSM, JPNT dan MPM memandangkan pelajar Tingkatan 6 dari Terengganu mendapat hasil yang tidak memuaskan dalam ujian MUET dalam banyak tahun ini. Ini menjejaskan peluang mereka untuk mendapat tempat dalam universiti tempatan. Peningkatan dalam pencapaianMUET akan membantu mereka dalam hal ini. Pendekatan yang diambil kali ini ialah dengan memberi latihan kepada guruguru yang mengajar bahasa Inggeris agar dengan cara itu ia dapat memberi kesan ke atas pencapaian pelajar.

Kursus Peningkatan Pedagogi Guru-Guru MUET bertujuan meningkatkan kemahiran pedagogi dan latihan bagi guru yang mengajar subjek MUET di Terengganu terhadap kandungan silibus MUET. Ia juga bertujuan untuk berkongsi cara pengajaran terbaik pelaksanaan MUET oleh para fasilitator berpengalaman dengan guru-guru MUET seluruh Terengganu serta meningkatkan profesionalisme guru dalam proses penyediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan.

Kursus ini diadakan selama empat hari daripada 30 Januari 2016 sehingga 2 Februari 2016 di TH Hotel & Convention Centre Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu. Sepanjang kursus ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai perkongsian ilmu dan kaedah pengajaran seperti syarahan, perbincangan, pembentangan dan pengajaran makro yang menekankan aspek Listening, Essay Writing, Reading dan Speaking sebagaimana yang terkandung dalam silibus MUET. Para peserta juga diberikan tugasan khas untuk dilaksanakan secara berkumpulan dengan bimbingan fasilitator yang berpengalaman.

Hasil Ujian MUET – Perbandingan Ringkas

Bagaimana hasil ujian MUET pada 2015 (sebelum kursus kepada guru-guru diadakan) berbanding 2016 (iaitu setelah kursus diadakan)? Apakah terdapat perubahan dalam pencapaian ujian MUET?

Ujian MUET sudah berlangsung pada Julai 2016, justeru kita mempunyai data untuk membuat perbandingan. Daripada hasil ujian MUET pelajar-pelajar Tingkatan 6 sekolah kerajaan di Terengganu, didapati tidak ada perbezaan yang ketara bagi kedua-dua tahun tersebut.

Berdasarkan data daripada JPNT, bilangan pelajar Tingkatan 6 sekolah kerajaan yang mengambil ujian MUET pada Julai 2015 ialah seramai 1811 orang manakala pada Julai 2016, seramai 2258 orang. Namun peratusan yang memperoleh Band 1 & 2 (yakni band paling rendah) merupakan majoriti, iaitu 59.5% pada Julai 2015 dan 60.8% pada Julai tahun 2016. Untuk Band 3, hasil tahun 2015 lebih baik iaitu 35.3% berbanding hanya 32.1% pada 2016. Tidak ada pelajar memperoleh Band 6 (band tertinggi) bagi kedua-dua tahun itu. Hanya bagi Band 4 & 5 ada sedikit kemajuan, tetapi peratusannya sangat kecil iaitu 5.2% pada Julai 2015 dan 7.04% pada Julai 2016.

Apakah ini bererti usaha yang dilakukan secara bersama oleh YDSM, JPNT dan MPM dengan mengadakan Kursus Peningkatan Pedagogi Guruguru itu sia-sia? Jawapannya tidak. Ia memberikan kita pengalaman yang berharga. Walaupun kursus peningkatan pedagogi guru-guru diadakan, tidak semestinya ia dengan segera dapat menghasilkan peningkatan pencapaian pelajar-pelajar yang mereka ajar. Masalahnya lebih kompleks yang memerlukan pemikiran lebih mendalam, cara yang pelbagai dan masa yang lebih lama bagi membawa perubahan yang dihasratkan. Sama samalah kita fikirkan lagi cara dan pendekatan seterusnya.