Meneruskan tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dalam semangat prihatin terus mengambil berat golongan yang kurang bernasib baik melalui penganjuran Majlis Berbuka Puasa bersama golongan berkenaan pada bulan Ramadhan yang lepas.

Majlis tersebut telah diadakan pada 12 Jun 2016 bersamaan 7 Ramadhan 1437 Hijrah, bertempat di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Sekitar 250 hadirin daripada golongan yang kurang berkemampuan hadir untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM serta isteri, warga kerja YDSM serta pihak pengurusan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Pada pukul 6.45 petang, majlis tersebut dimulakan dengan alunan zikir dan tahmid serta bacaan ayat-ayat suci al Quran yang diketuai oleh Imam masjid sehingga masuk waktu berbuka Puasa. Majlis berbuka puasa disusuli sembahyang sunat tarawih selepas solat Isya. Para hadirin mengucapkan terima kasih kepada YDSM atas keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan dan mengharapkan tradisi ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang.