Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Ericsson Malaysia bersama rakan-rakan kongsi yang lain telah merangka satu pelan tindakan untuk mewujudkan pembangunan mampan bagi memelihara ekosistem Tanah Bencah Setiu
dan memeliharan warisan budayanya menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Inisiatif yang diberi nama Connected Setiu Wetlands turut melibatkan kerjasama dengan Celcom Malaysia, Luimewah dan Tone. Ia merupakan projek pertama berskala ini di Malaysia di mana jalur lebar mudah alih, rangkaian internet dan teknologi awan (cloud technologies) digabungkan untuk mewujudkan pembangunan mampan. Dalam inisiatif ini, pihak Ericsson telah menyatakan komitmen mereka kepada Kerajaan Negeri untuk mendokong amalan pembangunan lestari dalam bidang pertanian dan perikanan.

Sebagai terjemahan kepada kerjasama YDSM dan Ericsson, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada 29 Jun 2016 bertempat di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, Selangor. YDSM telah
diwakili oleh Dato’ Profesor Emeritus Dr. Makhdzir bin Mardan, Pengerusi Projek Pemuliharaan dan Pemeliharaan
Ekosistem dan Ekopelancongan Tanah Bencah Setiu merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM manakalaEricsson Malaysia diwakili oleh Pengurusnya, Encik Todd Ashton. Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh Setiausaha Syarikat YDSM, Tuan Haji Azri Sani bin Dato’ Mazlan.

Dalam MoU ini, YDSM dan Ericsson bersama-sama dengan rakan kongsi Celcom Malaysia, Luimewah dan Tone
telah menentukan satu pelan tindakan untuk mewujudkan amalan pembangunan mampan bagi aktiviti pertanian, perikanan dan ekopelancongan. MoU ini meliputi penerokaan dalam lima bidang utama iaitu, Jalur Lebar mudah alih untuk semua, Connected Agriculture, Intelligent Fisheries, Enhanced Learning dan Ekopelancongan Digital
sebagai penyelesaian mampan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat di Setiu bagi menikmati faedah ekonomi, alam sekitar dan sosial. Ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU ini, Profesor Makhdzir Mardan
menyatakan bahawa kerjasama ini menunjukkan komitmen YDSM untuk membangunkan negeri Terengganu secara
mampan dan inovatif. “Asas kami adalah memberi tumpuan kepada usaha penyelesaian terhadap pemuliharaan alam sekitar dan melindungi warisan budaya kita di Terengganu. Kami melihat nilai ICT ini mampu untuk
memperkasakan masyarakat di Setiu melalui pendidikan, latihan kemahiran insaniah dan penyelesaian yang inovatif. Pendigitan tanah bencah Setiujuga mampu meletakkan kita sebagai destinasi pelancongan dan membolehkan kita untuk berkongsi budaya dan warisan kita dengan seluruh dunia,” kata beliau.

Antara bidang sasaran untuk pembangunan mampan ini termasuklah penggunaan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi di kawasan tanah bencah Setiu. Teknologi ini membolehkan penggunaan aplikasi mudah alih, melayari video dan berbagai perkara di internet untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan bagi mengekalkan pertumbuhan mampan di kawasan tersebut. Selain itu, sistem pemantauan air kawalan jauh untuk sungai,
tanaman bakau dan tanaman kelapa sawit akan digunakan bagi mengesan pencemaran atau perubahan dalam kualiti air yang boleh menjejaskan kesihatan flora dan fauna di kawasan tersebut. Sistem ini bertujuan untuk membolehkan tindakan pencegahan awal dilaksanakan apabila pencemaran dikesan dan juga sebagai perancangan awal dalam usaha pemeliharaan dan kelestarian. Di samping itu, aplikasi mudah alih untuk nelayan akan digunakan
bagi membolehkan mereka mengakses maklumat seperti ramalan cuaca, kawasan plankton, perubahan angin dan
suhu air bagi menghasilkan tangkapan yang produktif. Sistem ini juga akan membolehkan nelayan untuk berhubung dengan rakan-rakan mereka menggunakan P2P, A2P dan mesej GPS. Sistem ini tidak hanya menyokong usaha
meningkatkan hasil tangkapan, tetapi juga berupaya memastikan keselamatan dan memendekkan masa nelayan
di laut.

Menurut Encik Todd Ashton, Pengurus Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, “Inisiatif seperti ini adalah bukti tentang
bagaimana mobiliti, jalur lebar dan teknologi awan berpotensi membangunkan kawasan yang belum diterokai
di Malaysia. Inisiatif ini akan membolehkan komuniti Setiu memanfaatkan ICT untuk berubah kepada komuniti
digital dan industri sekaligus meningkatkan produktiviti mereka. Kami percaya dengan kerjasama yang dibentuk
antara rakan kongsi yang mempunyai matlamat yang sama dan kami gembira dapat bekerjasama dengan YDSM, Celcom, Luimewah dan Tone serta pihak-pihak lain yang berminat ke arah mewujudkan masyarakat yang saling
berhubung di Terengganu.”