Buat julung kalinya Majlis Pengurniaan Hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang telah dimulakan semenjak 2010 telah dilangsungkan di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu. Sebelum ini majlis ini diadakan di beberapa lokasi dengan yang terakhirnya pada tahun 2015 di Hotel TH.

Majlis Pengurniaan Hadiah Piala YDSM tahun ini berlangsung pada 2 Jun 2016, dengan diserikan oleh keberangkatan KDYMM Sultan Mizan selaku Pengerusi YDSM. KDYMM Tuanku Pengerusi turut mencemar duli menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang pertandingan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala YDSM.

Seramai kira-kira 700 orang jemputan telah hadir pada majlis itu. Antaranya termasuk para pembesar negeri YAB Menteri Besar Tuan Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, YB Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, ketua-ketua jabatan dan lain-lain. Sejumlah guru dan pelajar sekolah yang terlibat dalam pertandingan itu serta beberapa orang ibu bapa turut hadir. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu khas iaitu rombongan guru dari Sulawesi Selatan, Indonesia. Selain itu terdapat rombongan ahli akademik termasuk profesor dari UKM.

Majlis yang diadakan itu merupakan acara kemuncak bagi program pengukuhan Bahasa Inggeris dan program
pengukuhan Bahasa Arab sekolah-sekolah negeri Terengganu. Seperti sebelumnya, kedua-dua program ini dilaksanakan oleh YDSM dengan kerjasama erat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Program ini amat bererti dalam usahaYDSM memainkan peranan sebagai pelengkap dalam membangunkan modal insan berkualiti anak-anak negeri Terengganu.

Program pengukuhan bahasa Inggeris sudah memasuki tahun ke-7 dengan mencapai hasil-hasil yang membanggakan. Pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh para guru menjadikan ketiga-tiga pertandingan ’Smart English’, ’Chorasical Sketch’, dan ’Chain Story Telling’ lebih menarik dan mencabar. Selain acara pertandingan yang sedia ada, mulai tahun 2016, perhatian khusus diberikan kepada aspek-aspek baharu seperti
memupuk ’Smart Reader’ (Smart English), kemahiran sebagai ’best moderator’ untuk ’Chain Story Telling’ dan
kemahiran menjawab soalan panel hakim secara spontan dalam ’Chorasical Sketch’.

Program Pengukuhan Bahasa Arab dalam bentuk Kalam Jamaie pula sudah memasuki tahun ke-5 manakala Dikir
Arab memasuki tahun ke-3. Pertandingan Bahasa Arab masih meneruskan dua acara yang sama, iaitu Kalam Jamai’e Mulahan (berirama) dan Dikir Arab. Tema tahun ini diambil daripada sukatan pelajaran Bahasa Arab Tingkatan 1-5 supaya ianya lebih erat dengan kandungan pelajaran di sekolah. Kedua-dua acara ini tetap mendapat sambutan hangat para pelajar untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Arab. Kedua-dua acara ini lebih-lebih lagi Dikir Arab berupaya membangkitkan minat belajar Bahasa Arab dalam kalangan pelajar termasuk mereka yang sebelum ini agak ketinggalan. Ini terbukti apabila beberapa orang pelajar telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bahasa Arab Majlis Ihtifal Ilmi Kebangsaan di Temerloh, Pahang. Selain itu seramai lima orang pelajar bekas peserta Kalam Jamai’e pada tahun 2012-213 telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia) STAM 2015.

Dalam majlis itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman Haji Embong, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Piala YDSM telah mengumumkan hasil pertandingan. Pertandingan ’Chain Story Telling’ bagi tahun 2016 dimenangi oleh Maktab Rendah Sains Mara Kota Putera dari Besut, ’Chorasical Sketch’ oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II dari Kemaman manakala Pertandingan ’Smart English’ dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Putera Jaya, Setiu. Bagi Pertandingan Kalam
Jamaie Mulahan, johannya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut manakala Johan Pertandingan Dikir Arab juga dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Nurul Ittifaq, Besut.

TINTA ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan mengharapkan kesemua pelajar agar terus berusaha
dalam meningkatkan kemahiran dalam penguasaan bahasa Inggeris dan juga bahasa Arab. TINTA juga mengucapkan terima kasih kepada para guru dan pelajar serta kepada semua pihak lain yang bertungkus lumus bersama-sama Yayasan untuk menjayakan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab bagi membangun modal insan negeri Terengganu.