25 September – Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid – 19 (CITF) Hulu Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri serta beberapa agensi berkaitan telah menjalankan Program Vaksinasi Covid 19 kepada penduduk orang asli Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua itu menyaksikan seramai 115 orang asli perkampungan berkenaan telah menerima suntikan vaksin jenis CanSino sebagaimana yang ditawarkan kepada penduduk kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Hadir di program berkenaan adalah Dato’ Haji Azri Sani bin Dato’ Mazlan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Dr. Hajjah Kasemani binti Embong (Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu), Tuan Haji Safie bin Alias (Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan / Terengganu) serta Tuan Haji Azizulrahim bin Ahmad Zamri (Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan.
Turut hadir memeriahkan program adalah YB Dato’ Haji Rosol bin Wahid (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna Merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu) dan isteri, To’ Puan Halipah binti Ahmad, Dr. Azmani binti Wahab (Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Kesihatan Awam) yang diiringi oleh Tuan Ahmad Azizi bin Zulkifli (Pengerusi CITF Daerah Hulu Terengganu dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu), Dr. Goh Soo Ning, Pegawai Kesihatan Daerah serta beberapa lagi pegawai dari agensi terlibat.
Program ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dari Program Vaksinasi dan seterusnya hasrat imuniti berkelompok dapat dicapai.
Bagi menjayakan program berkenaan, YDSM turut menjemput beberapa orang doktor dan pembantu perubatan swasta bagi membantu pihak JKNT dalam proses vaksinasi tersebut.
Turut dilaksanakan dalam program tersebut saringan penyakit tuberkolosis (TB), pemeriksaan kulit untuk mengesan penyakit kusta, pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk penduduk orang asli yang hadir.